Sabtu, 16 Oktober 2010

Tentera laut Iran uji senjata baru

ARKIB : 05/08/2008

TEHERAN 4 Ogos - Pengawal Revolusi Iran mengumumkan mereka telah menjalankan ujian sejenis senjata bagi tentera laut yang boleh memusnahkan mana-mana kapal dalam lingkungan 300 kilometer.

Pengumuman itu dijangka memarakkan lagi ketegangan berpunca daripada program nuklear Iran selepas Teheran tidak menghiraukan tempoh akhir yang diberikan sehingga kelmarin untuk menberi jawapan kepada tawaran pakej insentif daripada enam kuasa dunia bagi meredakan pertikaian itu.

Barat menuduh Iran mahu membina senjata atom dan Amerika Syarikat (AS) tidak menolak kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan jika usaha diplomasi gagal menamatkan konfrontasi tersebut.

Iran pula memberi amaran akan menyerang pangkalan tentera AS di rantau ini jika diserang.

"Pengawal Revolusi baru-baru ini menguji sejenis senjata tentera laut yang boleh mengenai sasaran sejauh 300 kilometer.

"Tiada kapal akan selamat daripada senjata ini," kata Ketua Panglima Pengawal Revolusi, Mohammad Ali Jafari menurut laporan agensi berita Fars hari ini.

Beliau menyatakan senjata itu buatan Iran sendiri.

Tentera AS ditempatkan di beberapa negara Teluk, termasuk Bahrain yang menjadi lokasi pangkalan Armada Kelima tentera laut AS.

Iran memberi amaran tentera AS dalam jangkauan senjatanya dan kawalan boleh dikenakan ke atas perkapalan di Teluk jika Teheran dihimpit.

Kira-kira 40 peratus daripada dagangan minyak global menggunakan laluan Selat Hormuz, laluan sempit di selatan Teluk yang diapit oleh garisan pantai Iran dan Oman.

Kuasa Barat memberi tempoh akhir tidak rasmi sehingga kelmarin kepada Iran supaya membekukan kegiatan pengayaan uranium sebagai syarat untuk mereka menghentikan langkah ke arah mengenakan sekatan lanjut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

AS semalam menegaskan, Iran telah gagal memberikan jawapan dan dengan itu Majlis Keselamatan tidak ada pilihan kecuali mengenakan sekatan tambahan.- Reuters

Tiada ulasan: